Ciptakan Kebahagiaan

"berikanlah  kegembiraan,ciptakan  keindahan,
moga  tiada  lagi  kesedihan"



Hari  berganti  hari.  Setiap  detik  yang  berlalu  pasti  tidak  dapat  dikembalikan  semula.  Tapi  pada  masa  lalu  ada  sesuatu  telah  tercipta  iaitu  kenangan.  Yang  pergi  pasti  tidak  akan  kembali  lagi.  Hanya  kenangan  menjadi  teman.

Suatu  hari,  aku  dimasukkan  ke  wad  kerana  terlibat  dalam  kemalangan.  Kemalangan  yang meragut  nyawa  isteri  dan  anak  aku.  Sejak  itu  aku  selalu  menangis  dan  meratap  nasib  diri.  Aku tidak  punya  sesiapa  lagi.

Tiba-tiba  aku  ditegur  seorang  lelaki.  Katilnya  di  sebelah  katil  aku.  Dia  juga  pesakit  di  situ.  Kami berkenalan  dan  dia  seorang  peramah.  Membuatkan  aku  sedikit  hilang  rasa  kesunyian  apabila  dia suka  bercerita.

Dia  menjadi  mata  aku  untuk  saat  ini.  Ya.  Aku  buta  akibat  kemalangan  tempoh  hari.  Tetapi  aku masih  punya  harapan  untuk  melihat  lagi.  Dan  sekarang  aku  ada  kawan  yang  selalu  gembirakan  aku  dengan  cerita-ceritanya.

Kata  dia,  di  luar  tingkap  wad  kami  ada  kolam.  Ada  seekor  kucing  yang  seringkali  menunggu  ikan  di  tepi  kolam  itu.  Kucing  itu  akan  berpusing-pusing  di  tepi  kolam  itu.  Apabila  ikan  itu  muncul,  kucing  itu  menghulurkan  kakinya  ke  dalam  air.  Mereka  seakan  bersalaman.

Ikan  itu  membuat  percikan  air  kepada  kucing  itu.  Terlompat-lompat  kucing  itu.  Ikan  itu  sudah membuat  kucing  itu  terhibur.  Gembira  melihat  kucing  itu.  Setiap  hari  kucing  dan  ikan  itu  akan bermain-main  seperti  itu.

Aku  begitu  tekun  mendengar  cerita  daripada  dia.  Aku  juga  ingin  melihat  persahabatan  kucing  dan  ikan  itu  suatu  hari  nanti  bila  aku  dapat  melihat  semula.

Suatu hari,  kucing  itu  menunggu  begitu  lama  di  tepi  kolam.  Ikan  yang  selalu  menghiburkannya tidak  muncul  lagi.  Kucing  itu  berpusing-pusing  lagi  di  tepi  kolam  itu.  Tidak  juga  muncul.  Seorang pekebun  telah  datang  untuk  membersihkan  kolam  itu.  Kucing  itu  tersedar  bahawa  kawannya  itu telah  tiada.

Aku  juga  turut  bersedih  apabila  kucing  itu  kehilangan  kawannya.  Aku  berkata  pada  dia,  aku  ingin menjadi  pengganti  si  ikan  untuk  menghiburkan  si  kucing  saat  aku  bisa  melihat  kembali  suatu  hari  nanti.  Dia  mengiyakan  dan  memberi  dorongan  kepada  aku  untuk  sembuh.

Hari  ini  aku  terasa  sunyi  selepas  kawan  aku  pergi  ke  bilik  pembedahan.  Apabila  aku  terdengar  tapak  kasut,  aku  terus  menegur.  Rupanya  itu  jururawat.

Aku  bertanya  di  mana  kawan  aku  yang  duduk  di  katil  sebelah.  Adakah  pembedahannya  berjalan  lancar?  Kata  jururawat  itu,  dia  baru  sahaja  meninggal  pagi  tadi.  Penyakitnya  sudah  kritikal  dan tidak  mampu  di  selamatkan  lagi.  Aku  terkejut  dan  cuba  menahan  sebak  di  dada.

Setelah  beberapa  hari  dia  pergi,  aku  meminta  jururawat  untuk  melihat  di  luar  tingkap  itu. 
Aku  bertanya  ada  tak  kucing  di  tepi  kolam  itu.  Jururawat  itu  menurut.  Katanya  di  luar  tingkap  itu tiada  kolam.  Hanya  ada  tempat  letak  kereta.

Aku  ketawa  di  dalam  hati.  Sahabat,  saat  kau  menjadi  mata  aku,  kau  cuba  gembirakan  aku.  Kau hiburkan  dengan  cerita-cerita  indahmu.  Kau  lihatkan  kepada  aku  tentang  keindahan.

"Jadilah seperti ikan itu"

Ini  kata-kata  yang  dia  pernah  ungkapkan.  Apabila  diri  tidak  punya  apa-apa,  teruskan  memberi kegembiraan  pada  orang  lain.  Berikan  khabar  gembira  bagi  mereka  yang  bersedih.

Selamat tinggal ,  kawan.  Terima  kasih  untuk  sisa  kegembiraan  yang  kau  tinggalkan. 



Written  by  Temos_Oct 29,2018_10:05 p.m

TAMAT

4 comments: