Pinjaman DariNya






Teratak  Khadijah  masih  sunyi  sepi.  Nyanyian  cengkerik  juga  tidak  kedengaran seperti  kebiasaan.  Dedaun  hijau  basah  dek  titisan  embun.  Di  luar  Teratak  Khadijah  kelihatan  susuk  tubuh  seorang  gadis.  Mata  bundarnya  memandang  ke  langit.  Melihat  kerlipan  bintang-bintang  yang  ditemani  sinaran  cahaya  bulan.  Sesekali  angin  malam  meniup  lembut.  Nyaman  dan  dingin  terasa.  Gadis  itu  masih  tidak  berganjak  dan  masih  berpeluk  tubuh  menikmati  keindahan  ciptaan  tuhan.  Matanya  dipejam  rapat  lalu  dihembus  nafasnya  perlahan.  Terasa  tenang  seketika.

“Maka  nikmat  Tuhanmu  yang  manakah  yang  engkau  dustakan,”  sampuk  satu  suara dari belakang Ainin Sofiyya.

 Ainin  Sofiyya  tetap  menatap  keindahan  di  hadapannya  itu.  Dia  mendengar  kata-kata  tadi  walaupun  tiada  respon  dari  dirinya.

“Ayat  ini  diulang  di  dalam  Al-Quran  sebanyak  31  kali  di  dalam  Surah  Ar-Rahman.  Sesiapa  sahaja  yang  membaca  malah  yang  mendengarnya  pasti  terpegun  dengan  ayat  ini,”  sambung  suara  itu.

“Pastinya  kita  tak  boleh  menipu  dan  menafikan  dengan  kesombongan  kita  dengan nikmat  yang  Allah kurniakan. Kita tidak  mampu  menolak  kebenaran  tentang  hakikat kekuasaan  Allah  yang  menciptakan  alam  ini,”  Ainin  Sofiyya  pula  melontar  kata-kata.

“Betul  tu  Ainin.  Semoga  kita  zahirkan  kesyukuran  kita  kepadaNya  dengan  selalu mengikut  perintahnya  serta  meninggalkan  larangannya,”  balas  Hakimah  sambil  meletakkan  tangannya  di  atas  bahu  Ainin.

Mereka  berdua  kembali  mendongak  memandang  langit  yang  terbentang  luas  yang dihiasi  kerlipan  bintang  yang  tidak  terkira.  Sesungguhnya  banyak  lagi  keindahan  yang Allah  ciptakan  yang  mereka  sendiri  belum  pernah  tatapi.  Hebat  sungguh  aturan  Allah yang  Maha  Kaya  dengan  kekuasaannya.  Ingatlah  setiap  ciptaan  Allah  itu  bukan  sia-sia.

“Kenapa  kau  belum  tidur  lagi?”  soal  Hakimah  memecah  lamunan  seketika  tadi.

“Aku  tak  dapat  tidur.  Aku  masih  teringat  pasal  dia.  Rasa  bersalah  pada   dia sangat  tebal  dalam  diri  aku.  Kerana  dia  aku  jadi  diri  aku  yang  sekarang,”  balas  Ainin  sebak.

“Ainin,  kau  jangan  sedih.  Kau  tahu,  dia  pasti  gembira  bila  kau  berubah.  Allah hantarkan  dia  sebagai  wasilah  untuk  diri  kau.  Kau  doakan  dia  ya.”

Hakimah  memegang  tangan  Ainin  Sofiyya.  Dia  cuba  memberi  kekuatan  kepada kawannya  itu.  Itulah  apa  yang  perlu  dilakukan  sebagai  seorang  kawan.

“InsyaAllah. Terima  kasih  Hakimah,”  Ainin  menyeka  airmata  yang  membasahi pipinya.



 Tiga tahun lepas.



“Weh,  aku  dengar  kau  dapat  roommate  baharu.”

Sergah  Hakimah  dari  belakang.  Buku  yang  dipegangnya  di hempas  di  atas  meja. Semua mata memandangnya.

“Kau ni..  ingat  perpustakaan  ni  kau  punya  ke?”  omel  Ainin  Sofiyya.

“Ya,  semalam  dia  datang.  Aku  pun  malas  nak  layan  dia.  Baru  datang  dah  nak tegur  aku  itu  ini.  Rimas.”

“Kau  tu  jahat  sangat.  Memang  patut  la  dia  tegur  kau.  Tengok  macam  aku,  baik je  kan,”  balas  Hakimah  sambil  membetulkan  tudungnya.

“Kau  tu  sama  je  dengan  aku.  Dah  la,  aku  nak  balik  bilik.  Jumpa  lagi.”

Ainin  Sofiyya  mengemas  buku-bukunya  dan  beredar  dari  perpustakaan.  Hakimah membebel  sendiri  apabila  ditinggalkan  begitu.

“Ainin,  awak  dah  solat  Zohor?”  tanya  Athirah  Huda.

“Nanti  aku  solatlah!  Tak  nampak  ke  aku  tengah  baca  majalah  ni,”  tengking  Ainin  Sofiyya.

“Tapi,  awak  boleh  je  baca  majalah  tu  nanti.  Bangun  la  solat  dulu.”

Tegur  Athirah  Huda  lembut.  Ainin  berang  dan  membaling  majalah  ke  muka Athirah  Huda  sebelum  mencapai  kunci  kereta  dan  beredar  keluar  dari  biliknya.

Majalah  diambil  dan  diletakkan  kembali  ke  atas  meja  Ainin  Sofiyya.  Airmata Athirah  Huda  mengalir  laju.  Dia  bukan  mahu  menjaga  tepi  kain  orang,  tetapi  itu  adalah  tanggungjawab  dirinya  sebagai  seorang  kawan  bahkan  seorang  muslim.

Athirah  Huda  kembali  ke  katilnya.  Buku  catatanya  diambil  dan  dibelek  setiap helaian.  Lama  dia  merenung  setiap  tulisan  itu.  Dia  mula  membaca  setiap  tulisan  itu. Suaranya  seakan  berbisik.


“Sesiapa  antara  kamu  yang  melihat  kemungkaran  hendaklah  dia  mengubahnya dengan  tangan,  jika  tidak  mampu  hendaklah  dengan  lidahnya,  jika  tidak  mampu hendaklah  dengan  hatinya,  dan  yang  demikian  itu  adalah  selemah-lemah  iman.”  (riwayat  Muslim)


“Catat  hadis  ini  betul-betul.  Setiap  dari  kita  mampu  untuk  melaksanakan  tuntutan ini  sebenarnya.  Contohnya,  kita  menyuruh  kawan  kita  menunaikan  solat.  Selain  itu,  kita melarang  kawan  kita  membuang  sampah  merata-rata.  Itu  adalah  salah  satu  dakwah.”

“Huda,  dakwah  ini fleksibel.  Kita  boleh  berdakwah  dengan  banyak  cara.  Dakwah ini  juga  seni.  Bagaimana  kita  menyampaikan  dakwah  itu  sangat  penting  kerana  ia  dapat memberi  kesan  kepada  apa  yang  disampaikan  dan  juga  orang  yang  mendengar.”

Itulah  yang  disampaikan  oleh  naqibah  usrah  yang  disertai  oleh  Athirah  Huda ketika  di  maahad  dahulu.  Bukan  senang  untuk  berdakwah.  Malah  nabi  Muhammad sollahualaihiwasalam  juga  berdakwah  kepada  kerabat  terdekat  secara  rahsia  pada  mulanya. Akhirnya  nabi  Muhammad  berdakwah  secara  terang-terangan  walupun  menerima tentangan  juga  halangan.  Nabi  Muhammad  tetap  menyampaikan  Islam  dan  akhirnya  kita semua  dapat  merasai  keindahan  agama  Islam  itu  sendiri.

“Terima  kasih  kak  Yusra.  Huda  akan  kuat  untuk  sampaikan  risalah  dakwah  ini,” buku  catatannya  dipeluk  erat.  Sangat  bermakna  buku  catatannya  itu  buat  diri  Athirah Huda.

Jam  menunjukkan pukul 8.30 pagi. Ainin Sofiyya merenung gerak geri rakan sebiliknya itu. Sungguh Ainin Soffiyya sangat rimas dengan sikap Athirah Huda yang suka menegur dirinya. Selama ini tiada siapa yang berani menegur cara dirinya berpakaian, cara percakapan. Malah ibunya sendiri juga tidak mengendahkan apa yang dia ingin lakukan. Ayahnya jauh sekali. Sejak bercerai dengan ibunya, batang tubuh ayahnya langsung tidak kelihatan.

Ainin Sofiyya masih terkenangkan peristiwa semalam. Dia hampir dilanggar oleh sebuah lori balak dan dia sempat mengelak. Sempat juga dia memaki hamun pemandu lori tersebut. Peristiwa itu masih bermain-main di mindanya.

“Mungkin ini ke cara Allah nak tegur aku?”

Bisik Ainin Sofiyya. Dia cuba melupakan peristiwa semalam. Baginya itu adalah kecuaian pemandu lori tersebut. Bukan teguran dari Allah. Matanya tidak terlepas memandang susuk tubuh Athirah Huda yang sedang melaksanakan solat Dhuha.

“Ainin… Ainin,” panggil Athirah Huda setelah selesai solat Dhuha.

Ainin Sofiyya masih dengan lamunanya. Athirah Huda mendekati Ainin Sofiyya. Lengan Ainin Sofiyya dipegang. Ainin Sofiyya tersedar dari lamunannya.

“Kau nak apa? Nah!”

“Ambil balik tudung ni. Aku dah ada berlambak dalam almari!”

Tudung yang dibeli Athirah Huda kepada Ainin Sofiyya dicampak begitu sahaja.

“Tapi saya beli tudung ini sebagai hadiah perkenalan kita.”

“Diam la! Dah pergi! Jangan kacau aku,” Selimut terus ditarik menyelubungi dirinya.

Tudung berwarna turquoise itu dikutip kembali dari lantai. Athirah Huda tahu itu warna kegemaran Ainin Sofiyya. Dia berharap Ainin Sofiyya menyukai pemberiannya itu. Malah dia sangat berharap Ainin Sofiyya mampu memakai tudung yang mengikut syariat Islam. Allah telah berfirman di dalam Surah An-Nur ayat 31 tentang penjagaan aurat bagi wanita.



“Ainin, semoga suatu hari nanti awak pakai tudung ini. Mungkin ketika itu saya tak dapat tengok awak, tapi Allah itu Maha Melihat. Semoga ia dapat memberi pahala untuk awak.”

Athirah Huda bercakap dengan tudung yang berada di dalam genggamannya. Dia melipat dengan rapi dan menyimpan di dalam almari Ainin Sofiyya. Ainin Sofiyya mendengar setiap kata-kata Athirah Huda sebentar tadi. Dia cuba untuk tidak memikirkan tentang itu.

Hari ini Ainin Sofiyya menghabiskan masanya di perpustakaan. Kelas pada hari ini dibatalkan oleh pensyarahnya kerana ada kursus perlu dihadiri oleh pensyarahnya.

“Kenapa dia selalu baik dengan aku?”

“Aku selalu sakitkan hati dia. Tapi dia tetap sabar layan kerenah aku.”

“Aku selalu maki hamun dia. Dia tetap diam dan senyum.”

“Dia tu bukan manusia ke apa?”

Soal Ainin Sofiyya sendirian. Entah kenapa dia selalu memikirkan Athirah Huda walaupun bagi dirinya gadis itu sangat menjengkelkan di matanya.

“Assalamualaikum, cakap dengan siapa tu?”

Sapa Hakimah sebelum melabuhkan punggungnya di sebelah Ainin Sofiyya. Dia tahu kawannya itu sedang memikirkan sesuatu.

“Kau tak nampak ke hantu kat depan aku ni? Aku tengah sembang dengan dia la,” seloroh Ainin Sofiyya.

“Amboi. Kau ada masalah ke?” soal Hakimah sambil menatap wajah kawannya itu.

Soalan Hakimah dibalas dengan pandangan kosong oleh Ainin Sofiyya.

“Mesti kau tengah fikirkan pasal budak tu kan?”

“Siapa?”

“Athirah Huda, budak bilik kau.” Balas Hakimah ringkas.

“Entah…” Ainin Sofiyya menongkat dagu sambil memandang buku yang tidak terusik dari tadi.

Hakimah tahu perihal Ainin Sofiyya dan Athirah Huda. Layanan Ainin Sofiyya terhadap Athirah Huda bukan layanan seorang kawan tetapi sebagai musuh.

Ainin Sofiyya mendengar setiap butir kata-kata daripada mulut Hakimah. Dia akui sikap egonya sangat tinggi. Dia juga ingin menjadi seorang gadis yang baik seperti Athirah Huda. Ramai orang suka berkawan dengan Athirah Huda walaupun gadis itu bukanlah seorang yang petah berbicara, tetapi akhlaknya itu menjadi teladan kepada semua. Ainin Sofiyya begitu cemburu melihat rakan sebiliknya itu.


“Hakimah, semakin hari hati aku tidak tenang. Banyak sangat dosa yang aku lakukan.”

“Aku berdosa padaNya, aku berdosa pada Athirah Huda.”

Tiba-tiba ada getaran pada suara Ainin Sofiyya. Dia menangis. Dia tidak mampu lagi menahan seksanya menahan ego dan dosa-dosanya.

“Ainin, kalau kau berdosa pada Allah, mintalah keampunan dariNya. Kalau kau berdosa dengan manusia, kau pergilah berjumpa dengannya.”

“Tiada manusia yang tak melakukan dosa. Jika terdetik untuk melakukan dosa, segeralah beristighfar.”

Hakimah menghulurkan tisu kepada Ainin Sofiyya.

“Mana kau belajar semua ni?” soal Ainin Sofiyya.

“Athirah Huda selalu pesan semua ni pada aku. Aku bersyukur dapat kenal dia.”

“Hakimah, bawa aku jumpa Athirah Huda. Tolong aku,” rayu Ainin Sofiyya.

Sudah seminggu Athirah Huda menghilang. Tiada khabar berita dari kawan terdekat. Ainin Sofiyya menjadi risau dan rasa bersalah menghantui dirinya.

Ainin Sofiyya segera mejawab panggilan daripada Hakimah. Ainin Sofiyya sangat gembira apabila Hakimah sudi membawanya ke kampung Athirah Huda di Perak. Apabila sampai di sana, Ainin Sofiyya segera mencari Athirah Huda tetapi tiada. Dia hampa. Akhirnya ibu Athirah Huda menceritakan segalanya. Ke mana Athirah Huda menghilang.

“Ya Allah! Saya berdosa dengan Huda! Kenapa dia yang pergi dulu, bukan saya?”

Ainin Sofiyya meraung setelah mengetahui bahawa Athirah Huda terlibat dalam kemalangan ketika menghadiri majlis ilmu. Sebelum mereka pulang, ibu Athirah Huda membawa mereka berdua menziarahi kubur Athirah Huda.

Ainin Sofiyya membuka buku catatan milik Athirah Huda yang disampaikan oleh ibunya.

“Simpan buku ni elok-elok. Dia pesan untuk berikan buku ini kepada kamu.”


“Assalamualaikum sahabatku yang aku sayangi kerana Allah. Setiap pertemuan pasti adanya perpisahan. Setiap persahabatan, pasti ada pahit manisnya. Terima kasih kerana menjadi semangat kepada saya untuk menjadi seorang yang kuat untuk meneruskan dakwah ini. Saya hampir berputus asa, tetapi setelah saya bertemu dengan awak, saya mampu bangkit jadi lebih kuat. Ainin Sofiyya, simpan buku ini elok-elok. Awak bacalah dan tulislah apa yang awak rasa di dalam buku ini. Ini sahaja yang mampu saya berikan sebagai hadiah terakhir sebagai seorang sahabat. Jadilah seorang muslimah yang menjadikan malu sebagai perisai dalam diri. Maafkan saya selama perkenalan kita. Semoga kita bertemu di syurgaNya. Pesanan terakhir saya, setiap apa yang berlaku di sekeliling kita adalah pengajaran buat kita. Wallahualam.”

Sahabatmu, Athirah Huda. Feb 25,2015. 11:37 p.m


“Ainin, sama-sama kita doakan semoga roh Athirah Huda dicucuri rahmat.”

“Hakimah, nanti bawa aku ziarah kubur Huda. Aku rindu dia,” pinta Ainin Sofiyya sambil mengusap tudung pemberian Athirah Huda.

“Baiklah.”

Teratak Khadijah menjadi saksi pertemuan Ainin Sofiyya dan Athirah Huda. Apa yang dilakukan Athirah Huda kepadanya bukan untuk memperlekehkan tetapi untuk bersama-sama berjalan di atas landasan kebenaran. Ada ganjaran yang sangat hebat bagi mereka yang selalu melakukan kebaikan dan bersabar di atas ujian yang datang. Kerana syurga bukan percuma.

“Hidayah itu milik Allah, bukan milik manusia.”

“Allah hantarkan seseorang kepada kita samada untuk mengubah kita atau kita mengubah mereka.”

“Terima kasih Allah kerana pinjamkan Athirah Huda untuk kami.”

Sahabatku, kau pergi jua setelah kasihku kini membara.
Belum sempat kucurahkan kasihku.
Kau pergi tak kembali.Terima kasih sahabat. 

Ainin Sofiyya, Feb 27, 2018 , 5:35 p.m


Written  by  Temos_Dis 15,2018_01:01 p.m

TAMAT.