Hikmah Di Sebalik Ujian


Assalamualaikum.  Cerita  ini  sekadar  perkongsian  ringkas  daripada  aku.  Pesanan  untuk  diri  dan  juga  semua.  Sudah  lama  aku  menulis  tulisan  ini  dan  pada  pagi  ini  tergerak  di  hati  untuk  aku kongsikan  sebagai  manfaat.  Bila  dan  di  mana  ia  berlaku  sudah  aku  catatkan  di  akhir  perkongsian  ini.  Selamat  membaca.



                                                                         *  *  *  *  *


Semalam  ketika  di  hospital,  aku  disapa  oleh  seorang  perempuan.  Umurnya  lingkungan  50-an. Pada  permulaan  bicara,  beliau  bertanyakan  di  mana  tempat  belajar,  jurusan  apa,  tinggal  di  mana dan  macam-macam  lagi.

"Adik  sakit  apa?"  soal  beliau.

Aku  menjawab  dan  memberi  sedikit  penerangan  ala  ala  doktor.  Istilah  saintifik  tak  saintifik  semua keluar.

"Yela.  Dalam  hidup  ini  kita  kena  redha  je.  Teruskan  kehidupan,"  pesan  beliau  sambil menunjukkan  branula  di  tangan.

Sentap.

"Belajar  susah?" soalnya lagi.

"Susah  juga  makcik,"  balasku  ringkas.

Beliau  bercerita  tentang  anak  beliau. Lebih-lebih  lagi  anak  bongsu  yang  sedang  melanjutkan pelajaran  dalam  bidang  kejuruteraan  mekanikal.

"Anak  makcik  pun  cakap  belajar  tu  susah.  Tapi  makcik  bagi  dia  semangat."

"Makcik  tak  suka  bandingkan  anak-anak,  cuma  nak  dia  bandingkan  kesusahan  ketika  belajar  tu," ceritanya  lagi.

Aku  setia  mendengar.

Secara ringkasnya,  beliau  nasihatkan  bahawa  kesusahan  yang  kita  hadapi  ketika  belajar  adalah sama  macam  orang  lain.  Orang  lain  belajar  pun  susah,  tetapi  dapat  melepasi  kesusahan  itu. Kerana apa?  Kerana  dia  usaha.  Usaha  dan  ubah  cara  kita  belajar  supaya  kita  boleh  enjoy dengan  subjek  yang  kita  ambil.

Kalau  taknak  usaha,  kita  tak  akan  dapat  apa  yang  kita  nak.

"Dik,  penat  sebenarnya  jadi  ibu. Macam-macam kerenah anak-anak kita hadapi."

"Kalau anak bongsu, walaupun dah besar, manja dia tetap ada sebab dia lama dengan ibu dia."

"Jaga mak ayah kita dik. Sayang mereka macam mereka sayangkan kita."

"Siapa lagi nak jaga mereka kalau bukan kita. Takkan anak orang lain nak jagakan ibubapa kita."

Bila masuk bab ni, kelopak mata aku dah bergenang dengan airmata. Dah mula teringat rumah. Aku ingat dalam wad tu budak-budak je menangis, aku pun terjebak sekali.

Ada hikmah sebenarnya aku dihantar ke hospital, allah pertemukan dengan hamba-hambanya yang dapat memberikan pengajaran untuk kita.

Saya doakan semoga makcik diberikan kesihatan yang baik dan dipanjangkan umur.
Doakan kesihatan dan panjang umur buat ibubapa kita. Alfatihah juga kepada ibubapa mereka yang telah pergi.

"Setiap apa yang berlaku di sekeliling kita, adalah pengajaran untuk kita"


Temos
Mac 28, 2018 | 6:57 p.m
Hospital Serdang
Zon separa kritikal


written by @temos12. _ 2:55 a.m _ Dis 31,2018

Pinjaman DariNya






Teratak  Khadijah  masih  sunyi  sepi.  Nyanyian  cengkerik  juga  tidak  kedengaran seperti  kebiasaan.  Dedaun  hijau  basah  dek  titisan  embun.  Di  luar  Teratak  Khadijah  kelihatan  susuk  tubuh  seorang  gadis.  Mata  bundarnya  memandang  ke  langit.  Melihat  kerlipan  bintang-bintang  yang  ditemani  sinaran  cahaya  bulan.  Sesekali  angin  malam  meniup  lembut.  Nyaman  dan  dingin  terasa.  Gadis  itu  masih  tidak  berganjak  dan  masih  berpeluk  tubuh  menikmati  keindahan  ciptaan  tuhan.  Matanya  dipejam  rapat  lalu  dihembus  nafasnya  perlahan.  Terasa  tenang  seketika.

“Maka  nikmat  Tuhanmu  yang  manakah  yang  engkau  dustakan,”  sampuk  satu  suara dari belakang Ainin Sofiyya.

 Ainin  Sofiyya  tetap  menatap  keindahan  di  hadapannya  itu.  Dia  mendengar  kata-kata  tadi  walaupun  tiada  respon  dari  dirinya.

“Ayat  ini  diulang  di  dalam  Al-Quran  sebanyak  31  kali  di  dalam  Surah  Ar-Rahman.  Sesiapa  sahaja  yang  membaca  malah  yang  mendengarnya  pasti  terpegun  dengan  ayat  ini,”  sambung  suara  itu.

“Pastinya  kita  tak  boleh  menipu  dan  menafikan  dengan  kesombongan  kita  dengan nikmat  yang  Allah kurniakan. Kita tidak  mampu  menolak  kebenaran  tentang  hakikat kekuasaan  Allah  yang  menciptakan  alam  ini,”  Ainin  Sofiyya  pula  melontar  kata-kata.

“Betul  tu  Ainin.  Semoga  kita  zahirkan  kesyukuran  kita  kepadaNya  dengan  selalu mengikut  perintahnya  serta  meninggalkan  larangannya,”  balas  Hakimah  sambil  meletakkan  tangannya  di  atas  bahu  Ainin.

Mereka  berdua  kembali  mendongak  memandang  langit  yang  terbentang  luas  yang dihiasi  kerlipan  bintang  yang  tidak  terkira.  Sesungguhnya  banyak  lagi  keindahan  yang Allah  ciptakan  yang  mereka  sendiri  belum  pernah  tatapi.  Hebat  sungguh  aturan  Allah yang  Maha  Kaya  dengan  kekuasaannya.  Ingatlah  setiap  ciptaan  Allah  itu  bukan  sia-sia.

“Kenapa  kau  belum  tidur  lagi?”  soal  Hakimah  memecah  lamunan  seketika  tadi.

“Aku  tak  dapat  tidur.  Aku  masih  teringat  pasal  dia.  Rasa  bersalah  pada   dia sangat  tebal  dalam  diri  aku.  Kerana  dia  aku  jadi  diri  aku  yang  sekarang,”  balas  Ainin  sebak.

“Ainin,  kau  jangan  sedih.  Kau  tahu,  dia  pasti  gembira  bila  kau  berubah.  Allah hantarkan  dia  sebagai  wasilah  untuk  diri  kau.  Kau  doakan  dia  ya.”

Hakimah  memegang  tangan  Ainin  Sofiyya.  Dia  cuba  memberi  kekuatan  kepada kawannya  itu.  Itulah  apa  yang  perlu  dilakukan  sebagai  seorang  kawan.

“InsyaAllah. Terima  kasih  Hakimah,”  Ainin  menyeka  airmata  yang  membasahi pipinya.



 Tiga tahun lepas.



“Weh,  aku  dengar  kau  dapat  roommate  baharu.”

Sergah  Hakimah  dari  belakang.  Buku  yang  dipegangnya  di hempas  di  atas  meja. Semua mata memandangnya.

“Kau ni..  ingat  perpustakaan  ni  kau  punya  ke?”  omel  Ainin  Sofiyya.

“Ya,  semalam  dia  datang.  Aku  pun  malas  nak  layan  dia.  Baru  datang  dah  nak tegur  aku  itu  ini.  Rimas.”

“Kau  tu  jahat  sangat.  Memang  patut  la  dia  tegur  kau.  Tengok  macam  aku,  baik je  kan,”  balas  Hakimah  sambil  membetulkan  tudungnya.

“Kau  tu  sama  je  dengan  aku.  Dah  la,  aku  nak  balik  bilik.  Jumpa  lagi.”

Ainin  Sofiyya  mengemas  buku-bukunya  dan  beredar  dari  perpustakaan.  Hakimah membebel  sendiri  apabila  ditinggalkan  begitu.

“Ainin,  awak  dah  solat  Zohor?”  tanya  Athirah  Huda.

“Nanti  aku  solatlah!  Tak  nampak  ke  aku  tengah  baca  majalah  ni,”  tengking  Ainin  Sofiyya.

“Tapi,  awak  boleh  je  baca  majalah  tu  nanti.  Bangun  la  solat  dulu.”

Tegur  Athirah  Huda  lembut.  Ainin  berang  dan  membaling  majalah  ke  muka Athirah  Huda  sebelum  mencapai  kunci  kereta  dan  beredar  keluar  dari  biliknya.

Majalah  diambil  dan  diletakkan  kembali  ke  atas  meja  Ainin  Sofiyya.  Airmata Athirah  Huda  mengalir  laju.  Dia  bukan  mahu  menjaga  tepi  kain  orang,  tetapi  itu  adalah  tanggungjawab  dirinya  sebagai  seorang  kawan  bahkan  seorang  muslim.

Athirah  Huda  kembali  ke  katilnya.  Buku  catatanya  diambil  dan  dibelek  setiap helaian.  Lama  dia  merenung  setiap  tulisan  itu.  Dia  mula  membaca  setiap  tulisan  itu. Suaranya  seakan  berbisik.


“Sesiapa  antara  kamu  yang  melihat  kemungkaran  hendaklah  dia  mengubahnya dengan  tangan,  jika  tidak  mampu  hendaklah  dengan  lidahnya,  jika  tidak  mampu hendaklah  dengan  hatinya,  dan  yang  demikian  itu  adalah  selemah-lemah  iman.”  (riwayat  Muslim)


“Catat  hadis  ini  betul-betul.  Setiap  dari  kita  mampu  untuk  melaksanakan  tuntutan ini  sebenarnya.  Contohnya,  kita  menyuruh  kawan  kita  menunaikan  solat.  Selain  itu,  kita melarang  kawan  kita  membuang  sampah  merata-rata.  Itu  adalah  salah  satu  dakwah.”

“Huda,  dakwah  ini fleksibel.  Kita  boleh  berdakwah  dengan  banyak  cara.  Dakwah ini  juga  seni.  Bagaimana  kita  menyampaikan  dakwah  itu  sangat  penting  kerana  ia  dapat memberi  kesan  kepada  apa  yang  disampaikan  dan  juga  orang  yang  mendengar.”

Itulah  yang  disampaikan  oleh  naqibah  usrah  yang  disertai  oleh  Athirah  Huda ketika  di  maahad  dahulu.  Bukan  senang  untuk  berdakwah.  Malah  nabi  Muhammad sollahualaihiwasalam  juga  berdakwah  kepada  kerabat  terdekat  secara  rahsia  pada  mulanya. Akhirnya  nabi  Muhammad  berdakwah  secara  terang-terangan  walupun  menerima tentangan  juga  halangan.  Nabi  Muhammad  tetap  menyampaikan  Islam  dan  akhirnya  kita semua  dapat  merasai  keindahan  agama  Islam  itu  sendiri.

“Terima  kasih  kak  Yusra.  Huda  akan  kuat  untuk  sampaikan  risalah  dakwah  ini,” buku  catatannya  dipeluk  erat.  Sangat  bermakna  buku  catatannya  itu  buat  diri  Athirah Huda.

Jam  menunjukkan pukul 8.30 pagi. Ainin Sofiyya merenung gerak geri rakan sebiliknya itu. Sungguh Ainin Soffiyya sangat rimas dengan sikap Athirah Huda yang suka menegur dirinya. Selama ini tiada siapa yang berani menegur cara dirinya berpakaian, cara percakapan. Malah ibunya sendiri juga tidak mengendahkan apa yang dia ingin lakukan. Ayahnya jauh sekali. Sejak bercerai dengan ibunya, batang tubuh ayahnya langsung tidak kelihatan.

Ainin Sofiyya masih terkenangkan peristiwa semalam. Dia hampir dilanggar oleh sebuah lori balak dan dia sempat mengelak. Sempat juga dia memaki hamun pemandu lori tersebut. Peristiwa itu masih bermain-main di mindanya.

“Mungkin ini ke cara Allah nak tegur aku?”

Bisik Ainin Sofiyya. Dia cuba melupakan peristiwa semalam. Baginya itu adalah kecuaian pemandu lori tersebut. Bukan teguran dari Allah. Matanya tidak terlepas memandang susuk tubuh Athirah Huda yang sedang melaksanakan solat Dhuha.

“Ainin… Ainin,” panggil Athirah Huda setelah selesai solat Dhuha.

Ainin Sofiyya masih dengan lamunanya. Athirah Huda mendekati Ainin Sofiyya. Lengan Ainin Sofiyya dipegang. Ainin Sofiyya tersedar dari lamunannya.

“Kau nak apa? Nah!”

“Ambil balik tudung ni. Aku dah ada berlambak dalam almari!”

Tudung yang dibeli Athirah Huda kepada Ainin Sofiyya dicampak begitu sahaja.

“Tapi saya beli tudung ini sebagai hadiah perkenalan kita.”

“Diam la! Dah pergi! Jangan kacau aku,” Selimut terus ditarik menyelubungi dirinya.

Tudung berwarna turquoise itu dikutip kembali dari lantai. Athirah Huda tahu itu warna kegemaran Ainin Sofiyya. Dia berharap Ainin Sofiyya menyukai pemberiannya itu. Malah dia sangat berharap Ainin Sofiyya mampu memakai tudung yang mengikut syariat Islam. Allah telah berfirman di dalam Surah An-Nur ayat 31 tentang penjagaan aurat bagi wanita.



“Ainin, semoga suatu hari nanti awak pakai tudung ini. Mungkin ketika itu saya tak dapat tengok awak, tapi Allah itu Maha Melihat. Semoga ia dapat memberi pahala untuk awak.”

Athirah Huda bercakap dengan tudung yang berada di dalam genggamannya. Dia melipat dengan rapi dan menyimpan di dalam almari Ainin Sofiyya. Ainin Sofiyya mendengar setiap kata-kata Athirah Huda sebentar tadi. Dia cuba untuk tidak memikirkan tentang itu.

Hari ini Ainin Sofiyya menghabiskan masanya di perpustakaan. Kelas pada hari ini dibatalkan oleh pensyarahnya kerana ada kursus perlu dihadiri oleh pensyarahnya.

“Kenapa dia selalu baik dengan aku?”

“Aku selalu sakitkan hati dia. Tapi dia tetap sabar layan kerenah aku.”

“Aku selalu maki hamun dia. Dia tetap diam dan senyum.”

“Dia tu bukan manusia ke apa?”

Soal Ainin Sofiyya sendirian. Entah kenapa dia selalu memikirkan Athirah Huda walaupun bagi dirinya gadis itu sangat menjengkelkan di matanya.

“Assalamualaikum, cakap dengan siapa tu?”

Sapa Hakimah sebelum melabuhkan punggungnya di sebelah Ainin Sofiyya. Dia tahu kawannya itu sedang memikirkan sesuatu.

“Kau tak nampak ke hantu kat depan aku ni? Aku tengah sembang dengan dia la,” seloroh Ainin Sofiyya.

“Amboi. Kau ada masalah ke?” soal Hakimah sambil menatap wajah kawannya itu.

Soalan Hakimah dibalas dengan pandangan kosong oleh Ainin Sofiyya.

“Mesti kau tengah fikirkan pasal budak tu kan?”

“Siapa?”

“Athirah Huda, budak bilik kau.” Balas Hakimah ringkas.

“Entah…” Ainin Sofiyya menongkat dagu sambil memandang buku yang tidak terusik dari tadi.

Hakimah tahu perihal Ainin Sofiyya dan Athirah Huda. Layanan Ainin Sofiyya terhadap Athirah Huda bukan layanan seorang kawan tetapi sebagai musuh.

Ainin Sofiyya mendengar setiap butir kata-kata daripada mulut Hakimah. Dia akui sikap egonya sangat tinggi. Dia juga ingin menjadi seorang gadis yang baik seperti Athirah Huda. Ramai orang suka berkawan dengan Athirah Huda walaupun gadis itu bukanlah seorang yang petah berbicara, tetapi akhlaknya itu menjadi teladan kepada semua. Ainin Sofiyya begitu cemburu melihat rakan sebiliknya itu.


“Hakimah, semakin hari hati aku tidak tenang. Banyak sangat dosa yang aku lakukan.”

“Aku berdosa padaNya, aku berdosa pada Athirah Huda.”

Tiba-tiba ada getaran pada suara Ainin Sofiyya. Dia menangis. Dia tidak mampu lagi menahan seksanya menahan ego dan dosa-dosanya.

“Ainin, kalau kau berdosa pada Allah, mintalah keampunan dariNya. Kalau kau berdosa dengan manusia, kau pergilah berjumpa dengannya.”

“Tiada manusia yang tak melakukan dosa. Jika terdetik untuk melakukan dosa, segeralah beristighfar.”

Hakimah menghulurkan tisu kepada Ainin Sofiyya.

“Mana kau belajar semua ni?” soal Ainin Sofiyya.

“Athirah Huda selalu pesan semua ni pada aku. Aku bersyukur dapat kenal dia.”

“Hakimah, bawa aku jumpa Athirah Huda. Tolong aku,” rayu Ainin Sofiyya.

Sudah seminggu Athirah Huda menghilang. Tiada khabar berita dari kawan terdekat. Ainin Sofiyya menjadi risau dan rasa bersalah menghantui dirinya.

Ainin Sofiyya segera mejawab panggilan daripada Hakimah. Ainin Sofiyya sangat gembira apabila Hakimah sudi membawanya ke kampung Athirah Huda di Perak. Apabila sampai di sana, Ainin Sofiyya segera mencari Athirah Huda tetapi tiada. Dia hampa. Akhirnya ibu Athirah Huda menceritakan segalanya. Ke mana Athirah Huda menghilang.

“Ya Allah! Saya berdosa dengan Huda! Kenapa dia yang pergi dulu, bukan saya?”

Ainin Sofiyya meraung setelah mengetahui bahawa Athirah Huda terlibat dalam kemalangan ketika menghadiri majlis ilmu. Sebelum mereka pulang, ibu Athirah Huda membawa mereka berdua menziarahi kubur Athirah Huda.

Ainin Sofiyya membuka buku catatan milik Athirah Huda yang disampaikan oleh ibunya.

“Simpan buku ni elok-elok. Dia pesan untuk berikan buku ini kepada kamu.”


“Assalamualaikum sahabatku yang aku sayangi kerana Allah. Setiap pertemuan pasti adanya perpisahan. Setiap persahabatan, pasti ada pahit manisnya. Terima kasih kerana menjadi semangat kepada saya untuk menjadi seorang yang kuat untuk meneruskan dakwah ini. Saya hampir berputus asa, tetapi setelah saya bertemu dengan awak, saya mampu bangkit jadi lebih kuat. Ainin Sofiyya, simpan buku ini elok-elok. Awak bacalah dan tulislah apa yang awak rasa di dalam buku ini. Ini sahaja yang mampu saya berikan sebagai hadiah terakhir sebagai seorang sahabat. Jadilah seorang muslimah yang menjadikan malu sebagai perisai dalam diri. Maafkan saya selama perkenalan kita. Semoga kita bertemu di syurgaNya. Pesanan terakhir saya, setiap apa yang berlaku di sekeliling kita adalah pengajaran buat kita. Wallahualam.”

Sahabatmu, Athirah Huda. Feb 25,2015. 11:37 p.m


“Ainin, sama-sama kita doakan semoga roh Athirah Huda dicucuri rahmat.”

“Hakimah, nanti bawa aku ziarah kubur Huda. Aku rindu dia,” pinta Ainin Sofiyya sambil mengusap tudung pemberian Athirah Huda.

“Baiklah.”

Teratak Khadijah menjadi saksi pertemuan Ainin Sofiyya dan Athirah Huda. Apa yang dilakukan Athirah Huda kepadanya bukan untuk memperlekehkan tetapi untuk bersama-sama berjalan di atas landasan kebenaran. Ada ganjaran yang sangat hebat bagi mereka yang selalu melakukan kebaikan dan bersabar di atas ujian yang datang. Kerana syurga bukan percuma.

“Hidayah itu milik Allah, bukan milik manusia.”

“Allah hantarkan seseorang kepada kita samada untuk mengubah kita atau kita mengubah mereka.”

“Terima kasih Allah kerana pinjamkan Athirah Huda untuk kami.”

Sahabatku, kau pergi jua setelah kasihku kini membara.
Belum sempat kucurahkan kasihku.
Kau pergi tak kembali.Terima kasih sahabat. 

Ainin Sofiyya, Feb 27, 2018 , 5:35 p.m


Written  by  Temos_Dis 15,2018_01:01 p.m

TAMAT.


Hanya Dirimu (Part 1)



Hanya Dirimu (Part 1)

Wajah  polos  si  kecil  itu  ditatap  sayu.  Tidurnya  lena  bagai  keletihan  yang  amat. Manis  wajah  si  kecil  itu  seperti  ibunya.  Namun,  ada  kisah  sengsara  di  sebalik  wajah manis  itu.

Airmata  Haikal  menitis  laju.  Kesan  lebam  pada  wajah  Hannan  membuat  hatinya  menangis.  Lengan  dan  kaki  berbirat  akibat  dirotan.  Apa  dosa  anak  kecil  itu sehingga  ibu  tirinya  melakukan  sedemikian  rupa.  Di  mana  si  ayah  yang  dulu  kasih dan  sayang  pada  Haikal  dan  Hannan.  Mengapa  diam  membisu.

Prang!!!

"Anak  tak  guna!  Sini  kau!"  Telinga  Hannan  ditarik  kuat.

"Kau  pecahkan  pasu  bunga  aku!  Kau  sengaja  kan?  Anak  tak  guna!"  Hannan menangis  menahan  sakit  dipukul  ibu  tirinya.

"Ibu!  Sakit!  Bukan  Hannan  yang buat,"  Hannan merayu.

"Diam kau!  Sini kau aku pukul!"  Tali  pinggang  memamah  tubuh  kecil  Hannan.

"Sakit ibu!  Hannan  tak  salah,"  airmata  Hannan  menjadi  saksi  saat  itu.

Bobby,  kucing  kesayangan  ibu  tirinya  yang  melanggar  pasu  bunga  itu. Kebetulan  Hannan  berada  di  situ.  Akhirnya  Hannan  menjadi  mangsa.


*   *   *   *   *


"Hannan,  kena  pukul  lagi  ke?"  Tanya  Haikal  melihat  kesan  lebam  yang  masih  baru.

Hannan  hanya  mengangguk.  Hannan  menceritakan  segala  yang  berlaku.  Paling membuat  Haikal  terkilan,  si  ayah  mempercayai  kata-kata  ibu  tirinya.  Lantas  Hannan nampak  seperti  seorang  pesalah.  Ayahnya  sudah  berubah  sejak  berkahwin  dengan  ibu tirinya  itu.

Haikal  umurnya  baru  menginjak  sebelas  tahun.  Tapi  lagaknya  sebagai  seorang  pelindung.  Rasa  tanggungjawab  melindungi  Hannan  membuatkannya  lebih  kuat  untuk menjadi  dewasa.  Kudratnya  dan  Hannan  memang  tak  mampu  melawan  rasukan  ibu  tirinya  itu.  Tetapi  di  manakah  kudrat  insan  yang  bergelar  ayah?  Mengapa  dibiarkan mereka  begitu.

"Ayah, ayah  dah  jauh  berubah,"  air  mata  Haikal  mengalir.
"Hannan,  abang  Haikal  akan  jaga  Hannan,"  bisik  Haikal.


* * * * *


"Abang Haikal,  Hannan  nak  anak  patung,"  Hannan  tiba-tiba  datang  ketika  Haikal  sedang  mengulangkaji  pelajaran.

"Hah?"  Haikal  sedikit  terkejut  dan  buat-buat  tidak  mendengar  permintaan  Hannan.

"Hannan,  nak..  anak..  patung,"  satu  persatu  Hannan  menyebut  permintaannya  itu.

Aku  terus  meletakkan  pen  dan  menarik  nafas  sedalam  mungkin.  Hannan  menanti  respon  aku.  Dia  berdiri  kaku  di  sebelah  sambil  memegang  anak  patung  perempuan  yang  sudah  putus  tangan  dan  kakinya.  Ya,  Hannan  pernah  menyuarakan  isi  hatinya  kepada  ayah  tetapi  dibangkang  ibu  tirinya.  Katanya  membazir.  Banyak  lagi  keperluan  yang  nak  dibeli.  Aku  masih  teringat  wajah  Hannan  saat  itu.  Tertunduk  sayu  sesekali  melihat  ke  arah  kedai  menjual  anak  patung.  Respon  ayah?  Hanya  membiarkan  Hannan  begitu  sahaja.

“Hannan,  nak  anak  patung  ya?”  Hannan  mengangguk  laju.

“Patung  ni  dah  koyak.  Tangan  dan  kaki  dia  pun  dah  putus,”  ujar  Hannan  sambil  menunjukkannya  kepada  aku.

“Hannan  kena  janji  dengan  abang  Haikal,  Hannan  tak  boleh  nakal-nakal.  Dengar  cakap  ibu  dan  ayah.  Seburuk  mana  pun  mereka,  mereka  tetap  ibubapa  kita,”  Haikal  memesan  kepada  Hannan  sambil  merenung  jauh  ke  dalam  anak  mata  si  kecil  itu.

“Hannan  janji.  Hannan  pun  tak  akan  tinggalkan  anak  patung  lama  ni  walaupun  Hannan  dah  dapat  yang  baharu.  Hannan  nak  bahagikan  kasih  sayang  Hannan  dekat  patung  ni  sama  rata,”  dia  membelai  patung  kecil  itu.

Haikal  terasa  mendalam  sungguh  kata-kata  Hannan  itu  tadi.  Kata-kata  yang  suci  lahir  dari  hati  yang  suci.  Kejujuran  kata  dari  seorang  anak  kecil  yang  dalam  dirinya  penuh  luka  tetapi  kuat  melawan  rasa  sengsara  itu. 

“Hannan,  pergilah  masuk  tidur  dahulu.  Dah  lewat  ni.  Abang  Haikal  nak  habiskan  sedikit  lagi  kerja  ni.”  Rambut  ikal  mayang  itu  dibelai  lembut.

“Okey  abang.  Hannan  masuk  tidur  dulu.”  Dia  memberikan  ciuman  dan  salaman  kepada  Haikal.  Senyumannya  tetap  terukir  di  bibir.
Haikal  menghantar  Hannan  ke  pintu  bilik.  Menanti  anak  kecil  itu  hilang  dari  pandangan  matanya.  Pintu  ditutup  rapat.  Haikal  kembali  ke  meja  untuk  mengulangkaji.  Tiba-tiba   dia  terpandang  satu  potret  di  atas  meja.  Diambil  dan  diusap  perlahan.

“Ummi,  maafkan  Haikal  sebab  tak  mampu  nak  tegakkan  kebenaran.  Tiada  seorang  pun  yang  percaya  kata-kata  Haikal  masa  itu.”

“Semua  orang  cakap  Haikal  reka  cerita  pasal  kes  ummi.”

“Haikal  taknak  perkara  yang  sama  berlaku  pada  Hannan,”  airmata  Haikal  mengalir  dan  menitis  di  atas  potret  ibunya  apabila  teringat  kejadian  dua  tahun  lepas.



Imbas  kembali

2  tahun  lepas.


“Haikal,  bangun  sayang.  Jom  teman  ibu  pergi  beli  barang.” 

“Pergi  mana  ummi?”  Haikal  menggeliat  membetulkan  tubuhnya.

“Pergi  beli  barang.  Pergi  mandi  cepat,  ummi  dah  sediakan  sarapan  kat  bawah.  Adik  kamu  pun  dah  siap,”  ujar  Puan  Syazana  sambil  mengemas  katil  Haikal.

Doommm!!!

“Aduh  ummi!  Jerit  Haikal  sambil  memegang  dahinya.

“Ya  Allah  anak  bertuah  ni.  Tu  pintu  almari,  pintu  bilik  air  sana”  bebel  Puan  Syazana  apabila  melihat  Haikal  masih  mamai  sehingga  tertukar  pintu  almari  dengan  pintu  bilik  air.  Dia  menggeleng  perlahan.

Selepas  semua  sudah  menaiki  kereta.  Puan  Syazana  memecut  laju  membelah  angin.  Tiba-tiba  hatinya  terasa  sayu  melihat  Haikal  dan  Hannan.  Tiba-tiba  perasaan  sebak  itu  datang  dan  dia  kalah  dengan  perasaan  itu  sendiri.

“Ummi  menangis?”  Haikal  tiba-tiba  bertanya.

“Taklah,  mata  ummi  masuk  habuk  je  ni,”  ujar  Puan  Syazana.

“Ummi…nah  tisu  Hannan  bagi.”
Tersentak  seketika  apabila  Hannan  menghulurkan  tisu.  Airmata  yang  mengalir  dilap  perlahan.  

Kedua-dua  anaknya  hanya  memerhatikan  sahaja  tanpa  menyoal  apa-apa.

“Yeay!  Dah  sampai.  Jom  abang.”

Tangan  Haikal  ditarik  Hannan.  Kedua-dua  tangan  mereka  dipimpin  oleh  Puan  Syazana.  Hannan  menyanyi  lagu  Didi  & Friends  dan  Haikal  menyambung  setiap  bait  lagu  tersebut.  Puan  Syazana  tersenyum  melihat  keletah  sepasang  anaknya  itu.

Hampir  2  jam  mereka  membeli  barang-barang  keperluan  dapur  dan  lain-lain.  Hannan  dan  Haikal  tidak  merungut  sedikit  pun  walaupun  penat.  Puan  Syazana  memberikan  mereka  aiskrim  setiap  seorang.  Hannan  dengan  vanilla  kegemarannya  manakala  Haikal  dengan  perisa  coklatnya.  Puan  Syazana  pula  dengan  perisa  strawberi.

“Eh  Hannan  nak  ke  mana  tu?”  panggil  Puan  Syazana.

Hannan  berlari  mengutip  sampah  yang  dibuang  oleh  orang  awam  di  situ.  Tersenyum  Puan  Syazana  melihat  sikap  anak  kecilnya  itu.  Perbuatan  Hannan  diperhatikan  oleh  dua  orang  pelancong  Korea  dan  mereka  mendekati  Hannan  dan  memberikan  Hannan  dan  Haikal  coklat.

“Hey  little  girl.  You  did  a  good  job.  You  look  like  Korean  girl.”
Hannan  menyorok  di  belakang  Puan  Syazana.  Bukan  kerana  takut  tetapi  dia  malu.

“She’s  my  daughter  and  this  is  my  son,”  terang  Puan  Syazana.

“Can  we  take  a  picture?  This  little  girl  look  like  our  Korean,”  kata  salah  seorang  pelancong  Korea  tersebut.  Mereka  tunduk  hormat  sebelum  beredar.

“Bagusnya  anak  ummi  ni.  Buat  baik  selalu  taw.  Jom  Hannan ,Haikal  ummi  nak  belikan  something  untuk  anak  ummi,”  mereka  berdua  membontoti  Puan  Syazana.

Puan  Syazana  membelikan  sebuah  anak  patung  perempuan  untuk  Hannan  dan  sehelai  baju  untuk  Haikal.  Mereka  berdua  sangat  gembira  dan  teruja.  Ucapan  terima  kasih  tidak  henti-henti  keluar  daripada  mulut  Hannan  dan  Haikal.

Sebelum  mereka  bergerak  ke  parkir,  Puan  Syazana  memanggil  anaknya  berdua.  Dia  memeluk  dan  mencium  Hannan  dan  Haikal  dengan  seeratnya.  Ada  satu  perasaan  sebak  dan  sayu  pada  saat  itu.  Tetapi  dia  sendiri  tidak  mengerti  dan  fahami  apakah  tanda-tanda  itu.

Gerak-geri  Puan  Syazana  diperhatikan  seseorang  dari  jauh.  Ada  senyuman  sinis  terukir  di  bibir  pemandu  itu.  Pedal  minyak  ditekan  kuat.  Kereta  itu  meluru  laju  dan  cuba  melanggar  ketiga-tiga  mereka.  Puan  Syazana  yang  menyedari  kehadiran  kereta  itu  terus  menolak  Hannan  dan  Haikal  ke  tepi.  Tubuh  Puan  Syazana  melambung  dan  tercampak  ke  atas  lantai.  Kereta  itu  berhenti  di  tepi  Hannan  dan  Haikal.  Pemandu  perempuan  itu  ketawa  kuat  sebelum  melarikan  diri.

“Ummi!  Bangun  ummi!”

“Jangan  tinggalkan  kami.  Siapa  nak  teman  kami?”

“Ummi!!  Bangunlah!!”  tubuh  Puan  Syazana  digoncang  Haikal  dan  Hannan.

Orang  awam  berkumpul  di  tempat  kejadian.  Ada  yang  membantu  untuk  menyedarkan  Puan  Syazana  dan  ada  yang  menghubungi  ambulans.

“Pakcik!  Tolong  ummi  saya!  Ada  orang  langgar  ummi!”

“Ummi!  Bangunlah!!!  Siapa  nak  teman  Hannan  tidur  dan  bacakan  buku  cerita!”
“UMMI!!!!”  hannan  menjerit  sekuat  hatinya.

Haikal   memendam  rasa  marah  membuak-buak.  Dia  masih  ingat  muka  orang  yang  melanggar  ibunya  itu.  Dia  menumbuk  jalan  sekuat  hatinya.  Hatinya  menangis  melihat  tubuh  ibunya  sudah  tidak  benyawa.


Bersambung…  Hanya Dirimu (Part 2)  coming  soon…

Written by : Temos : Dis 2, 2018 : 9:40 p.m